Monday, 14 December 2015

Resepi Apam Nasi

Resepi : Apam Nasi

Resepi Apam Nasi
Apam Nasi #wanisyerikitchen

Lama dah nak try buat Apam Nasi ni. Tapi selalu ade je aralnya. Kalau bahan-bahan dah cukup, aral malas pula datang. Bila tengah rajin bahan-bahan pula tak cukup. Kali ni memang dah nekad alang-alang lebihan nasi ada dalam 2 cawan dan ditambah dengan ofis buat makan-makan sesama staff, so Apam Nasi lah yang saya nampak nak masaknya. Alhamdulillah. Akhirnya menjadi juga. Lepas ni kawan-kawan kalau ada nasi lebih jangan dibazirkan. Simpan dalam petisejuk. Bila ada masa buat Apam Nasi. Kalau nasi tu keras sebab dh lama dalam peti ais, rendam dulu dengan sedikit air. InsyaAllah nanti akan lembut. Kat bawah ni la resepi yang saya guna untuk buat Apam Nasi versi #wanisyerikitchen.


Resepi Apam Nasi

Bahan-bahan:
  1. 2 cawan nasi
  2. 3 cawan air
  3. 2 cawan gula
  4. 2 cawan tepung gandum
  5. 2 cawan tepung beras
  6. 1 paket kecil yis (mauripan)
  7. Pewarna makanan

Hiasan:
  1. 1 cawan kelapa parut 
  2. Garam


Resepi Apam Nasi
Apam Nasi yang telah dimasukan ke dalam acuan.

Cara-cara:
  1. Satukan nasi, air dan gula ke dalam blander. Kemudian kisar semuanya sehingga  halus dan gula larut.
  2. Sediakan bekas lain untuk campurkan tepung gandum, tepung beras dan yis. Gaul sekata.
  3. Masukkan bahan kisar ke dalam campuran tepung tadi dan gaul kesemuanya sekali sehingga sebati. (saya guna senduk kayu je nak gaul)
  4. Setelah adunan sebati, tutup bekas dan biarkan adunan selama 2-3jam. Bahan-bahan ini akan mengembang dan naik, jadi pastikan guna bekas yang 2 kali ganda lebih besar dari adunan. Tanda adunan menjadi apabila ada buih-buih kecil di atas adunan dan ianya nampak lebih sekali ganda.
  5. Setelah adunan kembang, bahagikan kepada beberapa bekas untuk diwarnakan adunan. Gaul sehingga warna sekata pada setiap adunan.
  6. Sapu sedikit minyak dalam acuan atau loyang kemudian tuangkan adunan 3/4 penuh mengikut citarasa campuran warna pilihan. (Jangan bubuh sampai penuh. Sebab sementara tunggu nak kukus, adunan masih mengembang dan akan melimpah keluar.)
  7. Sementara itu, panaskan pengukus sehingga air kukusan menggelegak.
  8. Masukan acuan atau loyang yang telah diisi adunan ke dalam periuk pengukus. (Sekiranya menggunakan loyang @ acuan kecil, kukus selama 15 minit dengan api yang kuat. Jika menggunakan loyang besar, kukus selama 30 minit atau lebih.)
  9. Setelah apam nasi masak,ianya boleh dihiaskan dengan kelapa parut yang digaul sedikit garam.(saya tak letak pon kelapa parut sebab malas nak keluar beli...)

Resepi Apam Nasi
Apam Nasi yang baru siap dikukus.

Makan masa apam nasi ni  masih panas memang sedap. Kompom makan 5 biji pon tak sedar. So lepas ni kalau ada lebihan nasi putih jangan dibuang. Sebab boleh buat apam comel-comel untuk sarapan pagi atau minum petang. Selamat mencuba!!!! Masak dengan penuh kasih sayang dan seikhlas hati pasti menjadi......

No comments:

Post a Comment